Projek Awam Lebih RM100 Juta Wajib Guna Sistem BIM Mulai 2019 | Bernama
KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) — Semua projek-projek awam yang bernilai RM100 juta dan ke atas diwajibkan menggunakan sistem Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) mulai 2019, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata penggunaan BIM akan meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kualiti keseluruhan proses pembinaan di samping mengurangkan kos pembinaan dan mengelakkan masalah reka bentuk dalam fasa perancangan.
“BIM membolehkan semua pihak yang terlibat dalam projek itu untuk menvisualisasikan, mengkoordinasikan dan menganalisis ciri-ciri fizikal dan fungsi utama setiap elemen sebelum pembinaan bermula.
“Ia juga berupaya membantu pihak pemaju mencapai sasaran menyiapkan bangunan dalam kualiti yang ditetapkan dan mengelak daripada berlaku perubahan kontrak,” katanya ketika berucap merasmikan myBIM Centre di sini, hari ini.
Fadillah berkata kerajaan sedang mempertimbang untuk menggunakan BIM bagi membina empat hospital awam yang memerlukan perancangan terperinci dan kos yang tinggi.
Tarikh kemaskini: 20/11/2017
Projek Awam Lebih RM100 Juta Wajib Guna Sistem BIM Mulai 2019