Penggunaan Level 2 BIM menjelang 2019
MENTERI Kerja Raya, Baru Bian merasmikan Persidangan Pegawai Kanan (SOC) JKR 2018 di TH Hotel dan Pusat Konvensyen, di Alor Setar, hari ini. – Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Kerajaan menyasarkan penggunaan sekurang-kurangnya Level 2 Model Bangunan Bermaklumat (BIM) menjelang tahun depan, seiring transformasi Jabatan Kerja Raya (JKR).
Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata penggunaan BIM akan terus diperkasakan berikutan sasaran kementerian di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) membabitkan projek bernilai RM100 juta ke atas.
Beliau berkata, inisiatif transformasi JKR dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk mempertingkatkan keberkesanan sistem penyampaian projek kerajaan melalui penggunaan BIM mampu merealisasikan Revolusi Industri 4.0 di negara ini.
“Perluasan penggunaan BIM dalam projek bangunan termasuk rekabentuk Pelan Pra Kelulusan (PAP) akan menjadi platform kepada pembangunan Kecerdasan Buatan (AI), Smart Total Asset Management (STAM) dan Bandar Pintar.
“Pelaksanaan BIM akan membabitkan proses pembangunan dan pengurusan maklumat digital berasaskan model tiga dimensi (3D) yang memerlukan pengurusan data yang berstruktur dan sistematik.
“Bagi menjayakannya, pemikiran perlu berubah seiring dengan peredaran masa supaya tidak ketinggalan dalam arus modenisasi teknologi termasuk hanya bergantung kepada kaedah konvensional menggunakan perisian AutoCAD yang hanya digunakan untuk penyediaan dokumentasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pegawai Kanan (SOC) JKR 2018 di TH Hotel dan Pusat Konvensyen, di sini hari ini.
BIM adalah teknologi baharu dipromosikan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bagi menambah baik kecekapan kos dan mengurangkan pembaziran peserta industri tempatan.
Penggunaan teknologi komputer berteraskan 3D itu yang dianggarkan mengurangkan sehingga 0.3 peratus daripada kos keseluruhan projek pembinaan itu, semakin mendapat perhatian di seluruh dunia.
Mengulas sistem tender terbuka, Baru menegaskan pihaknya komited melaksanakan sistem terbabit secara meluas dan telus terutama membabitkan projek besar.
Katanya, pihaknya seiring dengan kepemimpinan pusat untuk menambah baik sistem perolehan dan pemberian kontrak kerajaan demi memastikan ia lebih berdaya saing dan memberi pulangan kepada rakyat.
“Sebagai antara jabatan teknikal utama pembinaan insfrastruktur, pemilihan proses perolehan dan mekanisma pelaksanaan pembinaan tidak dapat dipisahkan.
“Saya yakin dengan pelaksanaan sistem tender terbuka dan pematuhan serta penguatkuasaan Arahan Perbendaharaan 182 (AP182), 1 Pekeliling Perbendaharaan (1PP), Arahan Teknik Jalan dan Kos Kitaran Hayat (LCC) di setiap pentadbiran akan memperkukuhkan sistem pelaksanaan projek kerajaan,” katanya.