CIDB UMUM PENGERUSI BAHARU – PENGALAMAN 34 TAHUN DALAM KEJURUTERAAN
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengumumkan perlantikan YB Ir. Hj. Yusuf Bin Hj Abd. Wahab sebagai Pengerusi CIDB yang baharu berkuatkuasa 1 Mei 2020.
Sebagai Pengerusi, YB Ir. Hj. Yusuf Bin Hj Abd. Wahab akan bertanggungjawab dalam memastikan hala tuju CIDB yang ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 atau Akta 520 menjadi sebuah organisasi yang kredibel sejajar dengan tanggunjawabnya mengawal selia, membangunkan dan memudah cara industri pembinaan di Malaysia.
YB Ir. Hj. Yusuf Bin Hj Abd. Wahab yang juga merupakan ahli Parlimen Tanjong Manis adalah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari University of Nebraska-Omaha, USA. Beliau berpengalaman luas selama 34 tahun dalam bidang kejuruteraan dan pernah menjadi pengarah untuk projek-projek infrastruktur kerajaan dan swasta. Beliau kini merupakan Pengarah Jurutera Perunding Wahba Sdn. Bhd.
YB Ir. Hj. Yusuf Bin Hj Abd. Wahab adalah ahli badan professional Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Institusi Jurutera Malaysia (IEM) dan Persatuan Penasihat Jurutera Malaysia.
Beliau juga menyandang beberapa jawatan penting termasuklah sebagai Pemegang Amanah di Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rejang, Pengerusi The Paloh Muslim Charitable Trust Fund dan Panel Penasihat Program Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Ahli Lembaga, barisan pengurusan dan kakitangan CIDB mengalu-alukan perlantikan YB Ir. Hj. Yusuf Bin Hj Abd. Wahab dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Ir. Dr. Meor Abdul Aziz Bin Osman atas khidmat bakti beliau sebelum ini.
(Mei 6, 2020)