CIDB laksana program strategik bantu penggiat industri
KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memperuntukkan RM70 juta bagi melaksanakan beberapa program strategik yang bakal memanfaatkan 30,000 penggiat industri.
Inisiatif berkenaan diyakini berupaya meningkatkan kemampuan dan kapasiti penggiat industri pembinaan yang terkesan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan COVID-19, baru-baru ini.
Menteri Kanan (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ia sebahagian daripada usaha untuk menyokong dasar semasa negara dalam meningkatkan penggunaan teknologi, pengurangan pekerja asing dan menyediakan pekerjaan bagi tenaga tempatan.
“Program yang disediakan dan mula dilaksanakan pada tahun ini, dilihat mampu memberi pendedahan serta melatih 30,000 penggiat industri iaitu golongan kontraktor serta personel binaan.
“Ia turut memanfaatkan belia dalam pelbagai bidang kemahiran, penyeliaan dan pengurusan dan juga penggunaan teknologi di dalam pembinaan.
“Sejumlah 17,700 personel binaan tempatan dan belia tempatan bakal mendapat manfaat dari program-program berbentuk latihan skilling, reskilling, upskilling serta akreditasi kemahiran yang akan dilaksanakan.
“Usaha ini dilihat mampu meningkatkan kemahiran personel dan belia tempatan dalam bidang berimpak tinggi untuk membina kerjaya di dalam industri pembinaan, seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga pekerja asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya, berkata CIDB akan menyediakan program perantisan yang mana seramai 7,800 belia tempatan akan diberi peluang untuk ditempatkan di syarikat-syarikat pembinaan.
Katanya, mereka akan dilatih dan bakal memperoleh pengalaman bekerja dalam industri pembinaan.
“Seramai 3,700 personel binaan dan belia tempatan juga akan dilatih di dalam bidang penyeliaan dan pengurusan projek, manakala 400 lagi akan dilatih di dalam bidang keselamatan tapak bina.
“Selain program latihan kemahiran untuk personel dan belia, CIDB turut mengadakan beberapa inisiatif ke arah meningkatkan penggunaan teknologi dalam kalangan kontraktor.
“CIDB merancang melahirkan pengeluar komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan memudah cara kontraktor tempatan untuk beralih daripada sistem konvensional kepada IBS.
“Untuk meningkatkan penggunaan Permodelan Maklumat Bangunan (BIM), CIDB turut menyediakan subsidi pembelian perisian BIM yang boleh dimanfaatkan oleh penggiat industri,” katanya.
Selain itu, Fadillah berkata CIDB membangunkan aplikasi mudah alih Contractor4U bagi memudahkan pengguna dan pemilik rumah membuat carian dan mendapatkan perkhidmatan kontraktor-kontraktor kecil tempatan.
Sehubungan itu, katanya, pendaftaran untuk aplikasi berkenaan dibuka untuk semua kontraktor, terutama golongan kontraktor G1 dan G3.
“Setakat ini seramai 4500 kontraktor berdaftar di dalam aplikasi terbabit. Semua peruntukan ini adalah tambahan kepada pakej Prihatin CIDB bernilai RM9 juta yang diumumkan pada 7 Mei lalu semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.
Sumber Berita Harian 11 Julai 2020