Pusat Mybim tawar kemudahan serba lengkap | Utusan Online
PUSAT myBIM CIDB yang terletak di Tingkat 11, Menara Sunway Putra. – UTUSAN
KUALA LUMPUR 20 Nov. – Inisiatif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menubuhkan Pusat myBIM dengan pelaburan sebanyak RM3 juta menyediakan kemudahan serba lengkap dalam usaha meningkatkan produktiviti sektor pembinaan.
Antaranya termasuklah myBIM Studio untuk kegunaan sewaan secara harian, stesen kerja yang boleh muatkan 22 orang, empat skrin besar LCD, sistem PA dan stesen percetakan 3D.
Selain itu, kemudahan myBIM Lab turut ditawarkan dengan kelengkapan bilik latihan termasuk panel skrin sentuk sebesar 80 inci dan 20 stesen kerja yang dilengkapi dengan dua skrin 24 inci untuk setiap stesen kerja.
CIDB turut memperkenalkan Perpustakaan Kebangsaan BIM yang menyediakan pelbagai objek BIM yang boleh dimuat turun secara percuma untul membina struktur BIM. Ia boleh dicapai melalui mybim-library.com.my.
Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid dalam ucapan ketika majlis perasmian Pusat myBIM berkata, pusat tersebut akan memberi peluang kepada lebih ramai penggiat industri terutama syarikat kecil dan sederhana untuk memanfaatkan Pemodelan Maklumat Pembinaan (BIM) di dalam projek pembinaan. – UTUSAN ONLINE
Oleh Zunaidah Zainon