18 TAPAK PEMBINAAN DIPERIKSA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 pemeriksaan tapak binaan dilakukan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di seluruh negara, semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, 17 tapak pembinaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, manakala satu lagi tidak beroperasi.
“Jumlah kumulatif dari April sehingga semalam, sebanyak 12,937 pemeriksaan dijalankan, membabitkan 7,761 tapak binaan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, sebanyak 682 premis perniagaan termasuk peruncit (499), pemborong (159) dan pengilang (24) dibuat pemantauan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh,” katanya.
Katanya, KPDNEHP juga melakukan 1,111 pemeriksaan khas Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Pemeriksaan itu mendapati 1,094 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 17 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.
“Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya.
Sumber : Berita Harian 29 Oktober 2020